Pada tahun ini buat pertama kalinya, Pertandingan Perbahasan
Piala Perdana Menteri dan Pertandingan Bola Keranjang Piala Tan Sri Hamdan
Tahir/Puan Sri Zainab dijalankan
serentak. Sesungguhnya pesta ini adalah yang
paling meriah yang pernah disertai oleh sekolah-sekolah berasrama penuh
di Malaysia. SDAR, Seremban diberi kepercayaan untuk
menganjurkannya.
Kontijen Kolej yang seramai
tiga puluh orang telah bertolak dengan Bas Kolej pada pagi 30hb Mac dengan
harapan tinggi untuk membawa balik Piala Perdana Menteri dan Piala Hamdan Tahir.
Pada jam 6.30 petang itu, Bas
Kolej yang gagah perkasa itu sampai di pintu gerbang SDAR dan kami diberikan sambutan yang baik oleh jawatankuasa pesta tersebut.
Suasana di sekitar sekolah tersebut amat menggembirakan. Ahli-ahli dari tiap kontijen beramah mesra
dan berkenalan antara satu sama lain.
Di sana sini kelihatan kelumpuk-kelumpuk
pelajar (kenalan lama) berbualbicara. Tetapi, keadaan manis itu telah diredupi oleh
berita kemangkatan DYMM Seri Paduka Yang
Di Pertuan Agung. Untuk menghurmati kemangkatan baginda,
pembukaan rasmi Pesta Perdana telah ditangguhkan.
Pada petang hari pertama 1hb April, kontijen kita bertolak ke kampus KTK untuk perlawanan bola keranjang
dengan SMSAH Jitra. Kolej menang dengan
amat mudah sekali; 101 - 15. Hari yang menggembirakan
bagi kontijen kita. Pada malam itu
seluruh kontijen kita beristirehat menunggu perlawanan-perlawanan yang bakal diadakan esuk.
Pada hari yang kedua, pada sebelah
petangnya pula pasukan bola keranjang kita menewaskan pasukan SMS N. Sembilan. Kolej
yang hanya menurunkan pasukan pelapis menang 85 - 43.
3hb April ialah Hari
Perasmian Pesta Perdana. Kolej diwakili
oleh Tuan Pengetua, En. Mohd Amin dan
lima orang pelajar. Selepas perasmian, pasukan pelapis bola keranjang Kolej telah mengalahkan SMS Pahang 48 - 39. Pada petang itu Kolej, menurunkan kembali pemain-pemain utama, menumpaskan STAR dalam perlawanan bola keranjang. Jaringan ialah 80
- 70.
4hb April, sebuah talentime telah diadakan. Kolej diwakili oleh Sdr Mohd. Ali Hanafiah. Beliau berjaya menduduki tempat ketiga. Tahniah diucapkan. Kemudian,
pada petangnya, Kolej, kembali diwakili oleh pemain pelapis, menewaskan SMS Melaka 86 - 70 dalam perlawanan bola keranjang.
5hb April, Pasukan bola keranjang
Kolej berjaya memasuki perlawanan separuh akhir bila mereka berjaya menundukkan
pasukan SMS Selangor 98 - 73. Pada petangnya pula, Kolej layak ke perlawanan akhir bola keranjang
selepas menundukkan SMS P. Pinang 85 – 75 dalam pertandingan separuh akhir.
6hb April; Pertemuan dua jaguh bola keranjang yang
tiada saingnya - KMKK dan MTD .
Pertemuan ini ialah yang ketiga di
peringkat akhir. Pada tahun 77, KMKK menang.
Tahun lalu, Kolej kurang bernasib baik.
Pemain-pemain kita telah bermain dengan penuh semangat. Di tambah pula
oleh sokongan dari sebahagian dari penuntun, pemain-pemain seperti Nik Rushdi,
Mohd Shah dan Aziz Saleh khasnya telah
menunjukkan ‘form’ yang baik. Akhirnya, bila wisel penamat dibunyikan,
Kolej berjaya menewaskan MTD 76
- 68. Piala
Hamdan Tahir pulang semula ke pangkuan kita! Diupacara penutup, kami
beramai-ramai menyanyikan lagu Kolej Melayu dengan bangganya.
Untuk meraikan kemenangan yang telah
dicapai oleh pasukan bahas dan bola keranjang,
Tuan Pengetua telah membawa seluruh kontijen Kolej ke Bilal Restaurant Seremban pada sebelah malamnya. Selepas itu, kontijen kita berkemas-kemas
untuk pulang pada esuk harinya.
Kebanyakan ahli kontijen kita mengambil peluang terakhir ini untuk
bertemu dengan kenalan masing-masing untuk mengucapkan ‘hingga jumpa lagi’.
Pada pagi hari esuknya, kontijen kita berangkat pulang dengan
kenangan-kenangan manis yang mengusik
jiwa.........
No comments:
Post a Comment