Monday, September 22, 2014

LAPURAN PESTA PERDANA 1981

Pada tahun ini, Pesta Perdana telah diadakan di bumi Kedah pula iaitu di SMS Kedah, Sg. Petani.  Seperti pada tahun-tahun yang lalu, pada tahun ini 20 buah sekolah berasrama penuh telah mengambil bahagian bagi merebut Piala Perdana Menteri dalam acara perbahasan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dan Piala Sheikh Hamdan Tahir dalam pertandingan bolakeranjang bagi pasukan lelaki dan Piala Toh Puan Zainab dalam pertandingan bolakeranjang bagi pasukan perempuan.
Pesta tersebut telah diadakan pada masa cuti persekolahan penggal pertama iaitu dari 10hb April sehingga 17hb April 1981.  Kontijen Kolej Melayu yang seramai 27 orang pelajar telah bertolak meninggalkan Bandar Di Raja Kuala Kangsar pada pagi 10hb April menuju ke Negeri Jelapang Padi penuh dengan harapan dan cita-cita agar impian akan menjadi kenyataan kelak. Semasa dalam perjalanan, kontijen telah berhenti untuk berihat dan makan tengahari di Seberang Prai.
Bas baru Kolej yang membawa pasukan bahas Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris serta pasukan bolakeranjang Kolej Melayu telah tiba di perkarangan SMS Kedah pada tepat jam 2.45 petang.  Kontijen Kolej telah ditempatkan di tingkat 4 di asrama putera.
Hari pertama, 11hb April
Pagi-pagi lagi pasukan bolakeranjang Kolej telah bertemu dengan pasukan SMS Pulau Pinang.  Kolej yang menurunkan pasukan utama nya telah mendapat tentangan yang hebat pada awal permainan.  Akhirnya pasukan bolakeranjang Kolej telah mencapai kemenangan pertamanya dengan kiraan mata 98 - 66.
Pada pukul 9.30 pagi, perasmian Pesta Perdana ke 8, telah dilaksanakan oleh YB Dato’ Osman Arof, Ahli Exco Undangan Negeri Kedah
Hari kedua, 12hb April
Pada sebelah paginya, pasukan bolakeranjang Kolej telah bertemu dengan SM Sultan Abdul Halim. Jitra.  Kolej yang pada satu ketika mendahului pihak lawan 29 - 0, pasukan pelapis meneruskan permainan dan berjaya mencapai kemenangan yang kedua apabila wisel penamat dibunyikan dengan jaringan yang menjadi rekod di sepanjang kejohanan ini iaitu 87 - 15.
13hb April
Hujan yang telah turun dari awal pagi telah menyebabkan suasana menjadi agak muram.  Dengan diiringi oleh hujan renyai-renyai inilah, pasukan bolakeranjang Kolej telah turun menentang SMS Johor.  Pemain pemain dari kedua-dua pasukan telah mendapati sukar mengawal permainan disebabkan oleh keadaan gelanggang yang licin dan basah.  Namun begitu Kolej telah berjaya mengatasi pihak lawan dengan 68 - 34.
14hb April 1981
Jam 8.00 pagi, bertempat di gelanggang D KSAH, pasukan bolakeranjang Kolej telah bertemu dengan STAR.  Disebabkan tiada perdebatan pada hari ini, seluruh kontijen Kolej telah turut sama menghadirkan diri untuk memberikan sokongan moral kepada pasukan Kolej.  Perlawanan ini merupakan perlawanan yang penting bagi pasukan Kolej untuk menjamin peluangnya ke peringkat akhir kelak.  Dalam perlawanan yang rancak dan penuh aksi ini, kedua-dua pasukan telah menunjukkan permainan yang bersungguh-sungguh.  Hasil dari ini jaringan pada separuh masa pertama ialah seri dengan 29 - 29.  Namun dengan corak permainan yang lebih baik dan teratur dalam separuh masa kedua, disertai dengan sokongan yang begitu kuat dari para penonton, Kolej telah berjaya mendapat kejayaan 44 - 41.
Pada sebelah petangnya pula, perlawanan menentang MTD telah diadakan.  Walaupun para pemain agak keletihan disebabkan perlawanan pada paginya, Kolej telah menunjukkan satu corak permainan yang baik.  MTD tewas di tangan Kolej dengan kiraan mata 64 - 47.
15hb April
Jam 4.30 petang - di gelanggang S Sin Min, pasukan bolakeranjang Kolej telah bertemu dengan SMS Selangor.  Kolej yang telah layak ke pusingan separuh akhir, menurunkan pasukan pelapis.  Kemenangan sekali lagi dapat dicapai dengan jaringan memihak kepada Kolej 64 - 40.
16hb April
Pada pukul 7.30 pagi, perlawanan separuh akhir bolakeranjang diantara Kolej Melayu menentang tuan rumah SMS Kedah, telah diadakan.  Kedua-dua pasukan telah menunjukkan permainan yang menarik dengan Kolej menunjukkan permainan pantas sepanjang perlawanan.  Dengan sokongan yang hebat dari penyokong-penyokong Kolej, pasukan bolakeranjang Kolej telah berjaya memasuki peringkat akhir setelah menewaskan SMS Kedah 70 - 54.
17hb April
Hari penutup Pesta Perdana.
4.00 petang.  Pertandingan akhir bolakeranjang Piala Tan Sri Sheikh Hamdan Tahir di antara Kolej Melayu dan MTD dimulakan.  Ini kali keempat Kolej Melayu bertemu dengan MTD di perlawanan akhir Piala Hamdan Tahir dalam masa 5 tahun.  Setelah empat puluh minit beradu tenaga, Kolej berjaya menjadi johan tahun 1981 setelah menumpaskan MTD dengan kiraan mata 79 - 54, satu rekod perbezaan mata terbesar untuk perlawanan akhir dalam sejarah bola keranjang Kolej Melayu.  Piala Hamdan Tahir sekali lagi pulang ke pangkuan Kolej Melayu untuk kali ketiga.
18hb April
Kontijen bertolak balik meninggalkan bandar Sungai Petani dengan seribu satu kenangan pahit dan manis, suka dan duka.  Kemenangan dan kekalahan memang menjadi adat pertandingan.  Namun begitu, sebahagian dari impian telah menjadi kenyataan.  Semoga tahun 1982 akan membawa kejayaan yang lebih cemerlang.

Berdiri dari kiri: Lan Sukaimy, Yusri, Yazid, Azri, Bachtiar, Hanif (diganti oleh Jusni), Anis dan Che Sapi@Anuar (Ay)
Duduk dari kiri: Kamarul, Kushai, Mr. Leong, Mr. Wan Aziz HM (Ay), Mr Ee, Ihsan and Hadi

1 comment:

Unknown said...

Fight. Fight, Fight!