Saturday, June 09, 2007

LIEW PIMPIN MCKK KUASAI BOLA KERANJANG ASRAMA PENUH

The original article and title by YBhg. Dato' Saifuddin Abdullah (Sarp 78) before it was edited and printed in the Berita Harian 9 June 2007. Even the title was changed and several paragraphs has been edited due to space constraint.

Saifuddin Abdullah

Pertandingan bola keranjang lelaki Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Piala Hamdan Tahir kali ke-32 di Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi yang berakhir pada 31 Mei lalu berkesudahan dengan keputusan yang telah dijangka dari awal, iaitu The Malay College Kuala Kangsar (MCKK) menang perlawanan akhir dengan menewaskan Sekolah Menengah Sains Seremban (SASER) 103-62.

Pertandingan tersebut dimulakan pada 1974 di Sekolah Alam Shah (SAS), dan kecuali pada 1998 dan 1999, ia telah diadakan pada setiap tahun.

Dalam tempoh itu, pasukan MCKK, yang menggelar dirinya Cagers, paling banyak menjadi johan, iaitu 12 kali, di samping 4 kali menjadi naib johan.

Ini diikuti oleh Royal Military College (RMC) yang menjadi johan sebanyak 5 kali dan naib johan 10 kali; dan Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR) yang menjadi johan 5 kali dan naib johan 3 kali.

Cagers satu-satunya yang berjaya menang 3 tahun berturut-turut sebanyak 2 kali, iaitu pada 1981-1983 dan 2004-2006. Pasukan lain yang pernah menang 3 tahun berturut-turut ialah SDAR, iaitu pada 1974-1976.

Dengan kemenangannya kali ini, maka Cagers satu-satunya yang pernah menang 4 tahun berturut-turut, iaitu 2004-2007.

Dalam 20 tahun pertama pertandingan ini (1974-1993), Cagers menjadi johan 8 kali dan naib johan 3 kali. Pada tahun tidak memasuki pertandingan akhir, ia sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir. Kerana kejayaannya yang cemerlang itu, maka Piala Hamdan Tahir yang asal telah dihadiahkan untuk simpanan Cagers.

Apakah rahsia kecemerlangan Cagers? Jawabnya ialah jurulatihnya, Liew Yong Choon.

Anak Kuala Kangsar ini graduan Universiti Malaya, menyertai Polis Di-Raja Malaysia sebagai kadet Assistant Superintendent Police (ASP) pada 1975 dan bersara pilihan sebagai Senior Assistant Commissioner (SAC) pada 1997.

Dalam bola keranjang, beliau pemain Perak (1968), Exco Persatuan Bola Keranjang Amatur Malaysia (MABA) pada 1980 dan Naib Presidennya (1987-1989), dan pengurus pasukan bola keranjang lelaki Malaysia di Sukan Sea 1989.

Dalam Sukan Sea itu, selepas hampir 20 tahun tidak memenangi pingat emas bola keranjang lelaki, kita berjaya memenanginya. Itulah juga kali terakhir setakat ini.

Oleh kerana MCKK tidak mempunyai jurulatih, Liew diundang melatih Cagers mulai pertengahan 1974, iaitu sebelum Piala Hamdan Tahir yang pertama di mana Cagers menduduki tempat ketiga, iaitu di belakang SDAR dan RMC.

Tetapi, keputusan tersebut kurang menarik. Yang lebih menarik ialah pada awal tahun itu, iaitu sebelum Cagers dilatih Liew, ia kalah kepada Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR). Dalam Piala Hamdan Tahir itu, Cagers yang berwajah baru di bawah Liew telah menewaskan pasukan STAR yang sama. Liew telah membuktikan kewibawaannya.

Mulai saat itu, Liew yang ketika itu bertugas di Kuala Lumpur berulang alik setiap bulan, malahan adakalanya setiap minggu, untuk melatih Cagers. Beliau berihat pada 1988- 1989 untuk menjadi pengurus pasukan Malaysia. Beliau kembali melatih Cagers pada 1992-1993 sebelum berehat panjang selepas itu.

Dalam tempoh 20 tahun itu (1974-1993), Liew menjadi jurulatih secara sukarela, iaitu tanpa apa-apa imbuhan. Bukan kerana MCKK atau Persatuan Murid-murid Tua MCKK (MCOBA) tidak menghulurkan apa-apa. Tetapi kerana beliau tidak mahu menerima apa-apa. Sebalik, beliau banyak membelanjakan duitnya sendiri.

Selepas itu, iaitu semasa ketiadaannya selama 10 tahun (1994-2003), Cagers hanya menjadi naib johan pada 1994 dan tahun berikutnya layak ke separuh akhir sahaja. 8 tahun yang berikutnya (atau 6 tahun, kerana tiada pertandingan pada 1998-1999), Cagers bukan sahaja tidak memenangi apa-apa, malahan pernah tidak layak ke peringkat kebangsaan kerana kalah di peringkat zon. Itu zaman kegelapan Cagers.

Pada 2003, atas undangan bekas-bekas Cagers (diketuai Ihsan Ismail yang kini pengurus Cagers, Kushairi Abd Manaf dan Riza Amarallah Beg), Liew kembali menjadi jurulatih. Bekas Cagers menubuhkan program Quest-4-Glory (Q4G) yang lengkap dengan tabung membiayai segala keperluan Cagers. Tetapi Liew masih enggan menerima apa-apa.

Sasaran Q4G ialah untuk menjadi johan semula mulai 2005, iaitu sempena ulang tahun ke-100 MCKK. Tetapi, kehebatan Liew membolehkan Cagers menjadi johan setahun lebih awal, iaitu pada 2004. Kisah seterusnya adalah sejarah bertinta emas.

Cagers menjadi pasukan bolakeranjang yang disegani di Daerah Kuala Kangsar dan juga Pulau Pinang. Mereka pernah dijemput untuk menyertai pertandingan Bola Keranjang Bandar Sungai Siput dan mencipta rekod menjadi pasukan pertama membawa keluar Piala Kejohanan dari Bandar Sungai Siput. Cagers juga dijemput khas untuk menyertai Pertandingan Bola Keranjang Pulau Pinang dibawah 16 tahun (merupakan satu-satunya pasukan dari luar Pulau Pinang). Mereka menunjukkan prestasi cemerlang dan menjadi ‘crowd favorite’ dalam pertandingan tersebut.

Liew membentuk Cagers mempunyai sikap yang betul. Mereka bermain seperti pemain profesional – menguasai kemahiran asas yang tinggi, mematuhi strategi dan taktik yang ditentukan, berstamina, berdisiplin, komited, bersistem dan berlatih sepanjang tahun.

Tetapi, Cagers bukan sekadar pasukan bola keranjang. Ia lebih daripada itu. Ia adalah satu kumpulan ahli sukan yang tidak mempunyai masalah disiplin. Liew dan Q4G membuat peraturannya sendiri bagi memastikan rekod bersih ini dikekalkan.

Cagers juga mempunyai rekod akademik yang membanggakan. Liew dan Q4G menentukan sasaran tertentu. Sesiapa yang gagal memenuhinya tidak dibenarkan berlatih dan bermain untuk masa tertentu. Pernah 2 orang pemain utamanya tidak diturunkan dalam Piala Hamdan Tahir peringkat zon kerana gagal satu kertas peperiksaan.

Q4G menyediakan tusyen oleh guru-guru dari luar untuk Cagers bagi subjek paling lemah untuk SPM. Liew sendiri memberi tusyen bahasa Inggeris, matematik dan sains untuk PMR. Manakala pemain senior digalakkan membantu pemain junior.

Dalam PMR 2003, 2005 dan 2006, semua Cagers, kecuali seorang, mendapat 8A, manakala pada 2004, semua mendapat 8A.

Dalam SPM pula, pada 2004, semua Cagers mendapat sekurang-kurangnya 7A. Pada 2006, seorang mendapat 10A, seorang mendapat 9A dan 2 orang mendapat 8A. Rekod Cagers ialah pada 2005 apabila 2 orang mendapat 101A, seorang mendapat 9A, 2 orang mendapat 8A dan seorang mendapat 7A, di mana kaptennya dan juga pemain terbaik Piala Hamdan Tahir, Ahmad Amirul Hafidz Ab Rahman, adalah pelajar terbaik Malaysia dalam kategori 101A.

Bagi Liew, dan ini mempengaruhi Cagers dan Q4G, bola keranjang bukan untuk MCKK sahaja. Liew mahu mutu bola keranjang meningkat. Justeru, beliau melatih Sekolah Tun Fatimah (STF) dan membantu Sekolah Menengah Sains Pokok Sena, Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA), dan, mulai Julai ini, Tunku Kurshiah College (TKC).

Bagi bola keranjang perempuan SBP Piala Hajah Zainab tahun ini, yang diadakan serentak dengan Piala Hamdan Tahir itu, dua didikannya, iaitu SESMA, telah untuk pertama kalinya sampai ke separuh akhir, manakala, STF, setelah 16 tahun kemarau johan, telah berjaya menewaskan Sekolah Seri Puteri (SSP), iaitu kuasa utama bola keranjang perempuan SBP, dalam perlawanan akhir.

Ini bermakna tahun ini, Liew mengetuai juara berganda, iaitu MCKK dan STF – satu sejarah yang pertama kali terlakar.

Sesungguhnya, perjalanan Liew melahirkan kecemerlangan Cagers dan kesinambungan Q4G, serta penerimaan orang lain terhadapnya, adalah amalan terbaik (best practice) yang unik dalam semangat dan pendidikan kesukanan yang par excellence.

No comments: